Islam Itu Indah

Islam Itu Indah

Tuesday, December 3, 2013

Mengapa Istikharah Tidak Berjawab

   Istikharah dalam istilah lain dikalangan kita adalah meminta Allah memberi petanda terhadap sesuatu permasalahan, atau lebih menjurus kepada “Memaksa” Allah membuat pilihan untuk kita. Berdasarkan pengharapan sesuatu petanda tersebut, kita menganggap itulah pilihan yang telah Allah berikan pada kita. Semestinya petanda itu boleh memberi bahaya, kerana mungkin petanda itu menyebabkan kita terfikir tunang orang, suami orang dan yang lebih parah, isteri orang.

Istikharah Perlu Difahami
Maksud Istikharah ialah kita meminta bantuan Allah dalam membuat pilihan dalam pelbagai perkara dan urusan. Menurut hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata:
Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:
Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).
Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini  adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.

Ketenangan Membuat Keputusan
Berdasarkan hadis di atas, kita memohon Allah memberikan kita yang terbaik semasa kita membuat pilihan terhadap sesuatu perkara. Kerana Allah mengetahui apa yang tersirat di dalam setiap sesuatu kejadian. Yang berlaku pasti ada hikmahnya. Tatkala kita masih ragu-ragu dengan pilihan yang ingin dibuat, laksanakanlah lagi solat tersebut. Tidak ada masalah untuk melakukannya berulang kali, sehingga kita beroleh ketenangan ketika membuat keputusan. Menurut al-Imam al-Nawawi, seseorang yang melakukan istikharah, maka dadanya akan terbuka luas untuk sesuatu urusan, malah dia akan terlihat kebaikan pada perkara yang akan dilakukan atau sebaliknya.
Secara amnya, kita timbang tara setiap keputusan yang dibuat, dan untuk memudahkan kita menyakini keputusan yang ingin dilaksanakan, seelok-eloknya mintalah pandangan kepada mereka yang kita percaya dan mampu memberi pendapat dengan baik terhadap perkara tersebut. InsyaAllah, keputusan mana yang kita rasa terbaik, itulah yang kita ambil. Bukannya menanti petanda dan berkata “Allah telah menunjukkan bahawa itu yang perlu dilakukan”. Dikhuatiri syaitan yang memberi petanda yang kita harapkan, kerana pilihan yang kita inginkan selalunya yang menyalahi tuntutan iman kita.
Satu petikan dari artikel tersebut ialah Tambahan pula dalam keadaan jiwa anak muda yang selalu lemah untuk menolak kehendak diri dan sering terdorong mengikut kemahuan. Jiwanya tidak bulat meminta kepada Allah, sebaliknya bermain helah untuk mengharapkan Allah menyokong kecenderungan dirinya sendiri. Tatkala mana kita mengharapkan petanda adalah berharap Allah menunjukkan petanda yang sesuai dengan kemahuan kita. Bukannya berdasarkan timbang tara akal fikiran dalam melaksanakan sesuatu keputusan.

Istikharah Memohon KeredhanNYA
Setelah Solat Istikharah dilakukan, kita berharap keyakinan untuk melakukan keputusan tanpa perlu menanti petanda dariNya. Apa yang terjadi selepas itu pasti ada hikmah, samada berbentuk nikmat atau ujian. Bersangka baik sesuatu pilihan, selagi pilihan itu berada di jalanNya, dengan berlandaskan iman, bukan nafsu yang membuak-buak. Ubah mentaliti tentang mengharap mimpi datang, atau petanda berdasarkan keadaan, kerana kita yang membuat keputusan, dan tuhan yang menampakkan hasil di sebalik pilihan. Petunjuk itu memang ada, cuma jangan menantinya serta mengharapkannya, hindarinya, kerana syaitan berusaha mengambil kesempatan pada dalam kesempitan. Berhati-hati dengan pilihan kita, jika memudaratkan, penuh keburukan, jelas sekali, bukan dariNya, melainkan syaitan yang berusaha menyesatkan kita.
Apa sahaja pilihan yang dibuat, redha dengan ketentuannya. Kerana ketentuan itu adalah petunjuk dariNya juga. Firman Allah “..Mungkin kamu benci pada sesuatu, sedangkan ia lebih baik bagimu, mungkin juga kamu cintai sesuatu, sedangkan ia mudarat bagimu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak” (Al-Baqarah : 216)...............~Jumarni Hj.Muhein~