Islam Itu Indah

Islam Itu Indah

Sunday, July 14, 2013

Apakah yang dimaksudkan dengan Cerai Takliq dan bagaimana sabitan Takliq boleh berlaku?
Ta'liq ertinya perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan sepertimana diperuntukan dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri. Cerai takliq boleh disabitkan apabila berlaku pelanggaran ke atas takliq dan setelah aduan dibuat serta disahkan oleh Mahkamah.

Apakah Hak-Hak Isteri Selepas Penceraian?
Hak-hak yang boleh dituntut di Mahkamah Syariah selepas sesuatu penceraian berlaku ialah :
a) Nafkah eddah
b) Mut'ah
c) Harta Sepencarian
d) Hadhanah (Hak Jagaan Anak)
e) Nafkah Anak
f) Tunggakkan Nafkah
g) Hak tempat Tinggal

Bagaimanakah bentuk Pembubaran Perkahwinan (Penceraian) yang terdapat dalam Islam yang dipraktikkan di Mahkamah Syariah?
Penceraian yang terdapat di dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri yang berkuatkuasa di negeri-negeri adalah seperti berikut :
a) Penceraian dengan lafaz Talaq
b) Pengesahan Lafaz Talaq
c) Fasakh
d) Cerai Takliq
e) Tebus Talak/Khuluk
f) Anggapan Mati

Apakah makna Perceraian (Talaq)?
Talaq ialah pembubaran ikatan perkahwinan dengan lafaz talaq atau seumpamanya berdasarkan Al-Quran, as-Sunnah dan ijma' ulama'. Perceraian boleh dilakukan dengan lafaz soreh (jelas) dan lafaz kinayah (sindiran), begitu juga perceraian boleh dilakukan dengan talaq raj'ie atau talaq ba'in.

PERKAHWINAN :

Apakah sebab-sebab seseorang perempuan yang ingin berkahwin perlu mendapatkan kebenaran wali Hakim dari Mahkamah Syariah ?
Permohonan Wali Hakim dibuat apabila berlaku keadaan seperti berikut :
a) Tiada wali yang sah dari nasab
b) Wali ghaib
c) Saudara baru / Muallaf
d) Anak tak sah taraf
e) Wali enggan
f) Wali dalam ihram haji/umrah
g) Wali tidak dapat dihubungi atas sebab darurat

Bilakah seseorang suami itu boleh dianggap mati?
Anggapan mati ialah apabila suami seorang perempuan telah mati atau dipercayai telah mati atau telah tidak didapati apa-apa perkhabaran mengenainya selama tempoh 4 tahun atau lebih. Apabila keadaan itu berterusan dan perempuan itu hendak berkahwin lain, hendaklah terlebih dahulu mendapat pengisytiharan anggapan kematian daripada Mahkamah Syariah.

FASAKH :

Bagaimana seseorang boleh memohon Fasakh?
Fasakh ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Di antara perkara-perkara yang mengharuskan Fasakh ialah apabila suami atau isteri :
a) Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.
b) Tidak mengadakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh 3 bulan.
c) Telah dihukum penjara selama tempoh 3 tahun atau lebih.
d) Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama satu tahun.
e) Telah mati pucuk.
f) Telah gila selama tempoh 2 tahun.
g) Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit.
h) Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita.
i) Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat.
j) Memaksa isteri hidup secara lucah.
k) Melupuskan harta isteri.
l) Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama.
m) Tidak berlaku adil kepad isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak.
n) Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun 4 bulan telah berkahwin.
o) Dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syarak.

LI'AN :

Apakah maksud Li'an?
Jika seorang suami menuduh isterinya berzina, dia akan dikenakan hukuman qadlif, jika ia tidak dapat membuktikan tuduhan dengan membawa 4 orang saksi. Dalam keadaan ini, suami boleh menggunakan acara li'an untuk mengelakkan hukuman ke atasnya. Jika pihak-pihak kepada suatu perkahwinan telah bersumpah secara li'an mengikut Hukum Syarak di hadapan Hakim Syarie, dalam hukumannya. Hakim Syarie itu akan memerintahkan mereka farak dan dipisahkan dan tinggal berasingan selama-lamanya.



No comments:

Post a Comment